sebagai menyahut seruan cadangan dari seorang kenalan
untuk menulis sepucuk surat buat diri sendiri
dimulakan dengan
"kehadapan diriku yang lalai,. . ."
Kehadapan diriku yang lalai,
Apa khabar kamu, wahai diri? Lebih spesifiknya, apa khabar iman dan hatimu, wahai diri? Aku rasa diri aku ini tidak berapa sihat, dalam dan luaran, hingga hampir setiap masa lalai. Lalai dengan semua benda yang tak sepatutnya. Mengeluh.
Apa lagi yang aku perlukan? Rasanya semua sudah cukup, lebih dari cukup untuk aku. Dan kalau boleh dikatakan membazir, ya rezeki yang Allah limpahkan itu terlampau banyak hingga membazir bazir untuk diri ini. Tetapi aku? masih tetap tidak menghargai dan masih tetap tak bersyukur. Ya, alhamdulillahnya selalu tetapi perbuatannya tidak selari. Senaraikan semua rezeki yang ada, masa, kewangan, kelapangan, kebahagiaan, kesihatan, kemudahan, kepandaian, banyak terlampau banyak, tetapi semua itu disia siakan. Nak memanfaatkan untuk orang lain lagi lagilah jauh.
Yang aku tahu, terus hanyut lalai dengan rezeki yang melimpah. Bersyukurkah itu namanya? Membuang masa dan duit begitu saja. Ilmu terkubur sepi. Allah dah beri banyak, apa yang aku balas? Sesungguhnya Allah langsung tak rugi apa apa, melainkan aku yang merugikan diri sendiri. Wahai diri, jika engkau tahu dan sedar betapa Allah sangat melindungimu. Jika engkau betul betul sedar.
Tak malukah engkau wahai diri? Semua dah ada, tapi masih ingkar. Siapa yang rugi kalau bukan dirimu sendiri. Aibmu, jika orang tahu, mana mungkin akan ada yang mendekati lagikan mahu memuji. Tapi itu hanya rahsiamu dan Dia. Tersimpan kemas. dan kamu masih terus ingkar? Sungguh kamu tidak malu, wahai diri?! Mahu hingga sekelian manusia yang pernah wujud di alam ini tahu, baru kamu hendak tertunduk malu memohon pengampunan? sedangkan waktu itu sudah terlewat, wahai diri. Sangat sangat terlewat.
Tidak! bukan terlewat, tetapi memang sudah tiada pengampunan detik waktu itu untukmu yang ingkar.
Berhentilah menzalimi diri sendiri.
Sesungguhnya setiap rezeki yang engkau rasakan hari ini datangnya dari Allah. Pancainderamu, rupa parasmu, kepandaianmu, hartamu, keluargamu, masamu, pakaianmu, perhiasanmu, ilmu pengetahuanmu, dan senarai itu terus hingga tak tersenarai pinjaman yang Allah berikan. Apa yang kamu ada? Jasad dan ruh itu juga milik Allah. Oleh itu, untuk apa nak dibangga banggakan dengan barang barang yang kita hanya pinjam, yang bukan milik kita?
Apa yang aku ada? Aku hanya ada amalan amalan untuk dipersembahkan di hari nyata kelak. Amalan amalan sama ada baik mahupun buruk. Dan jika baiknya sikit, buruknya banyak, bagaimana? Dan bagaimana pula jika amalan baikku itu menjadi seperti debu yang beterbangan?
Miskinlah aku! Hina.
Perumpamaan sudah tesenarai banyak di dalam Al-Quran, jika aku mahu memahami.
Dan jam terus berdetik, meninggalkan manusia yang statik
Izrail semakin menghampir.
Yang ikhlas,
diriku yang lalai.
Buat apa saja, biar sehabis baik!!
“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”
[Al-Kahf 18: 28]
#siri satu.